29 July 2011

Singapura-pura

Ke hadapan Lisa Surihani, Erra Fazira, Farid Kamil dan semua pelakon kayu di Malaysia,

Saya harap anda semua segan dengan diri sendiri sebab pemain-pemain bolasepak Singapura memiliki bakat lakonan yang lebih menyerlah berbanding anda walaupun mereka tidak memiliki sebarang pengalaman berkaitan wayang gambar dan bidang perfileman.

Bahkan, ada desas-desus mengatakan bahawa pemain tengah skuad Singapura, Shi Jiayi, bakal disunting oleh Syamsul Yusuf untuk membintangi filem terbarunya yang bertajuk "Mengerang Kesakitan Tetapi Tiba-Tiba Bangun Sendiri Dari Stretcher Lantas Terus Berlari Seperti Tiada Apa Yang Berlaku."


Sementelahan pula, penjaga gol Izwan Mahbud bakal menyinari layar perak di dalam filem "Aduh Sakitnya Kepalaku Terhantuk Bola Yang Dibuat Daripada Getah Anjal dan Kulit Sintetik Lembut."

Filem tersebut juga bakal disusuli dengan sequel yang bakal dibintangi oleh barisan paramedik skuad Singapura bertajuk "Kau Buat-Buat Sakit Di Kepala Tapi Aku Tersalah Urut Di Betis Tapi Tiba-tiba Sakit Kepala Kau Terus Baik" arahan pengarah tersohor Lee Kum Kee, yang juga memiliki kilang sos tiram.

Terdapat juga khabar angin mengenai produser filem terkenal seantero Singapura, Penny Poo Gam Pang, yang dikatakan berminat untuk menerbitkan filem patriotik epik bertajuk "Jangan Fitnah Tau, Mana Ada Kami Tukar Kerakyatan Semata-Mata Nak Main Untuk Singapura Sebab Kami Tak Laku Di Negara Sendiri" yang dibintangi pemain Daniel Bennett, Aleksandar Duric, dan Mustafic Fahrudin. Filem ini bakal mengetengahkan imej pelabuhan Singapura, dikenali sebagai pusat maritim terbesar Asia Tenggara yang mengimport petroleum, gas asli, komponen elektronik, rempah ratus, gandum, pemain bolasepak, jurulatih bolasepak, serta sayur-sayuran seperti bayam dan kangkung.

Tuan Direktor Ahmad Nisfu, seorang pengarah veteran, mengakui bahawa lakonan pemain bolasepak Singapura, Qiu Li di atas padang Bukit Jalil lebih memukau daripada lakonan Seniwati Rahmah Rahmat yang tebiat kempunan telur tembakul dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Singapura di Bukit Jalil malam tadi membuktikan bahawa setiap antara kita memiliki bakat terpendam yang tidak disedari oleh diri sendiri. Saya yakin, kalau dicampak di tengah padang, Lisa Surihani pasti mampu menjadi pemain tengah yang baik untuk skuad bolasepak Malaysia manakala pemain pertahanan Singapura, Delwinder Singh, diyakini mampu menggantikan Erra Fazira untuk menggalas watak Maria dalam filem pecah panggung Yusuf Haslam, Maria Mariana.



Anda pula, apa agaknya bakat terpendam anda?

No comments:

Post a Comment

caci..maki..kata perangsang...