01 July 2011

Perodua Myvi 2011




Assalaamualaikum dan salam sejahtera. Untuk Entri awal  bulan julai ni entah  macamana  tetibe  aku nak  cerita  pasal  kereta. Yelah kan..Kita  semua  sedia  maklum Perusahaan Otomobil Kedua atau ringkasnya Perodua baru-baru ini telah pun mengeluarkan model baru kereta 'subcompact hatchback' paling laris mereka, Perodua Myvi. Model yang dikenalkan seawal tahun 2005 ini merupakan kereta Holy Grail buat Perodua kerana ianya membantu meletakkan syarikat kereta nasional kedua ini di atas Proton buat kali pertama.

Macam biasa apabila Proton atau Perodua mengeluarkan model baru (atau 'facelift') maka berduyun-duyunlah rakyat Malaysia berkunjung ke 'showroom' kereta untuk melihat dengan lebih dekat. Mereka sebenarnya bukan sekadar melihat, tetapi turut membuka tutup pintu, buka bonet dan hud, ketuk-ketuk badan kereta, masuk dan duduk di dalam sambil tangan merayap di 'dashboard' dan sebagainya. Di sini kita dapat melihat senario yang jarang dilihat di 'showroom' kereta BMW atau Mercedes kerana:

1) Tidak ramai dari kita yang berani (berduit) untuk berkunjung ke 'showroom' BMW atau Mercedes.
2) Orang yang tak pernah jumpa kereta saja yang akan ketuk badan kereta BMW atau Mercedes.

Tapi untuk kereta buatan Malaysia kita lazimnya berbuat demikian kerana stereotaip seperti 'kereta Malaysia dibuat dari tin Milo' dan banyak lagi'urban legend' yang sewaktu dengannya. Kita perlu masuk ke dalam kereta dan tutup pintu untuk memastikan suara tukang jual yang membebel tidak kedengaran kerana itu kayu pengukur mutu NVH kereta tersebut. Kita perlu membuka tutup 'glove box' kerana mahu tahu jika ianya jenis yang senang terbuka sendiri atau tidak apabila kereta melanggar lubang nanti.

Minggu lepas aku juga sempat ke 'showroom' Perodua yang terdekat untuk melihat dan mengetuk model Perodua Myvi 2011. Bukan dari tin Milo dan mutu NVH boleh tahan. 'Glove box' pun bukan jenis yang senang terbuka kalau langgar lubang. Untuk sebuah kereta yang dibangunkan bersama Toyota dan Daihatsu ini memang sudah dijangka.

Tapi dalam pada aku menguji kemantapan pintu bonet, terdengar pula perbualan 2 orang pengunjung yang lain. Mamat yang satu bertanya pada mamat yang satu lagi kenapa dia sibuk mahu beli Perodua Myvi sedangkan sebenarnya mampu membeli kereta Honda atau Toyota.

Mamat yang satu lagi menjawab dengan tenang bahawa membeli kereta buatan Malaysia adalah satu tanggungjawab sosial untuk menjana ekonomi negara dan memastikan rakyat Malaysia lain terus terjamin peluang pekerjaan mereka di kilang Proton atau Perodua. Mamat yang bertanya tadi mengangguk penuh insaf.

Idea bahawa membeli kereta nasional itu satu tanggungjawab sosial, atau kekadang dikatakan satu tindakan patriotik sebenarnya memang sudah lama diterapkan di kalangan rakyat Malaysia. Kalau ikut kata Dr Mahathir pula, ianya satu amal jariah kerana apabila syarikat kereta nasional maju ramai yang mendapat kerja dan dapat menyara keluarga mereka.

Pendapat aku perkara ini betul kalau kita hidup pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Zaman itu kalau mamat ni British dia akan beli kereta Rover, kalau minah ni Jerman dia beli Mercedes dan siapa warga Amerika Syarikat akan beli lazimnya salah satu dari 'Big Three' mereka yakni General Motors, Ford dan Chrysler.

Sebab apa?

Sebab zaman itu belum ada lagi import-eksport kereta. Sebab belum ada kerana perdagangan dunia belum mencapai tahap globalisasi seperti hari ini. Satu sebab kerana belum ada infrastruktur dan teknologi untuk menyokong ini semua. Satu sebab lagi kerana masih wujudnya saki-baki fahaman merkantilisme pada zaman itu.

Menatang apa merkantilisme ini?

Ianya adalah satu doktrin ekonomi yang mendorong eksport tapi mencegah import demi menjamin kesejahteraan ekonomi sebuah negara. Dalam doktrin merkantilisme ini perusahaan pembuatan digalakkan kerana kepercayaan bahawa 'menghasilkan dan menjual lebih baik dari membeli dari orang lain'.

Dicampur aduk dengan semangat nasionalisme, maka corak pembelian kereta zaman itu ialah untuk membeli kereta buatan negara sendiri. Seorang mamat British akan hanya membeli Rover kerana dia boleh dicop tidak patriotik jika membeli Mercedes. Membeli sebuah Rover bermakna menyokong industri kereta nasional. Jika Rover maju, rakyat British sekitar Coventry dapat terus bekerja di kilang Rover dan menyara keluarga mereka. Ianya amal jariah.

Tapi sekarang syarikat kereta Rover ini sebenarnya sudah lingkup. Kilang mereka di Coventry sudah lama tutup. Begitu juga dengan kebanyakan syarikat kereta British yang lain. Lingkup sebab lama-kelamaan rakyat British mula sedar bahawa kereta mereka kebanyakannnya sampah dan tidak setanding dengan kereta Jerman atau Jepun. Dan kalau tak lingkup, dibeli oleh syarikat negara lain macam Lotus contohnya.

Lepas Perang Dunia Kedua, perdagangan dunia meningkat sejajar dengan keupayaan infrastruktur dan teknologi. Import-eksport kereta bermula dan Mercedes bukan lagi dibeli oleh rakyat Jerman sahaja tetapi turut dijual serata dunia. Dari eksekutif berpendapatan tinggi di New York hinggalah diktator sebuah negara Afrika di Uganda menggunakan Mercedes tanpa rasa ragu.

Sekarang status kewarganegaraan kereta hanya pada nama. Honda dan Ford mungkin kereta Jepun atau Amerika tapi ianya dikimpal di sebuah kilang di luar kotaraya Bangkok. Seorang pomen Siam mungkin lebih pandai selok-belok Honda City dari seorang pomen Jepun.

Tapi di Malaysia kita masih diasuh dengan falsafah membeli kereta macam 'mamat British membeli Rover'. Soalannya adakah hanya Proton dan Perodua saja yang dapat menjamin rakyat Malaysia peluang bekerja mengimpal besi di kilang kereta?

Macam mana dengan Honda yang juga ada kilang di Melaka? Atau Mercedes di Pahang? Bukankah dua kilang ini juga memberi peluang kerja pada rakyat Malaysia untuk menyara keluarga mereka?

Dan sebenarnya kita tidak tahu, berapa besar peluang pekerjaan yang terlepas dari kita apabila Toyota memilih Indonesia dan Ford memilih Thailand. Itu belum masuk lagi apabila Volkswagen putus asa dengan Malaysia dan National Automotive Policy (NAP) lantas berpindah ke Vietnam.

Itu baru cakap pasal peluang pekerjaan, belum lagi cerita tentang jumlah pelaburan yang terlepas begitu saja. Sebab susahnya hendak menarik pelaburan syarikat seperti Toyota atau Ford, kita agaknya terpaksa berpuas hati dengan pelaburan syarikat 'rare earth' macam Lynas di Pahang.

Ya, Proton dan Perodua beri peluang pekerjaan. Tapi sebab polisi yang hendak melindungi abang dan adik ini kita banyak terlepas peluang untuk memajukan industri automotif negara.

Dan kita belum cakap lagi tentang gaji yang dibayar Proton dan Perodua kepada rakyat Malaysia yang bekerja untuk menyara keluarga mereka. Atau bayar gaji setimpal amal jariah juga ke??

No comments:

Post a Comment

caci..maki..kata perangsang...