09 November 2011

Kahwin & Rumah

Dalam hal perkahwinan, tidak dapat dinafikan orang Melayu kita agak terkedepan dari segi memeriahkan majlis dengan bajet yang besar. Lazimnya alasan yang akan digunakan ialah kahwin hanya sekali, walaupun ada di kalangan orang lelaki ketika berkahwin itu sudah pun pasang niat mahu tambah lagi. Atau pun dalam sesetengah kes, ada pasangan yang bercerai dan kahwin lain pula sekaligus menenggelamkan fahaman kahwin hanya sekali.

Baru-baru ini aku sempat berbual dengan seorang kawan yang bakal berkahwin. Macam biasa, bila bersembang bab kahwin ini kita tidak dapat lari dari menyentuh soal belanja.

"Aku kahwin ni, tak kurang dari RM30,000 juga sekali masuk wang hantaran, barang-barang dan belanja majlis," jelas kawan aku penuh yakin.

Aku tak boleh nak kata apa, selain dari mengagumi nilai angka 30,000 tadi dan keupayaan kawan aku ini untuk berbelanja besar. Walaupun aku berani kerat jari yang sumber kewangan kawan aku ini pastinya datang dari pinjaman peribadi di mana-mana institusi kewangan yang diluluskan oleh Bank Negara.

"Kau sekarang menyewa bilik kan? Nanti dah kahwin macam mana?" aku tanya balik.

"Itulah, aku ingat lepas kahwin nak tumpang rumah mertua. Kalau tak pun carilah rumah sewa mana yang murah sikit," jelas kawan aku penuh yakin sekali lagi.

Dekat sini sebenarnya aku dah nampak mana yang silap. Belanja kahwin itu, kalaulah dapat dikurangkan barang ke RM15,000 sebagai contoh, paling tidak bakal pasangan mempelai ini sudah ada RM15,000 lebihan untuk tengok-tengok hartanah mana yang patut.

Kahwin memang kita nak hebat. Tapi kahwin juga tentang membina keluarga. Ada baiknya jika usaha membina keluarga ini dapat dilakukan di rumah milik sendiri.

1 comment:

  1. Masalahnya orang zaman sekarang ni berlumba-lumba untuk buat majlis yg gah2.

    ReplyDelete

caci..maki..kata perangsang...